ISLAMABAD: Banjir dahsyat dengan aliran deras di sesetengah kawasan yang telah menenggelami satu pertiga bumi Pakistan kini menjadikan negara itu sebuah tasik selebar kira-kira 100 kilometer.
Imej satelit baharu mendedahkan mala petaka banjir di Pakistan berpunca dari Sungai Indus yang melimpah telah menjadikan sebahagian daripada Wilayah Sindh menjadi tasik selebar 100 kilometer, lapor CNN.
Banyak kawasan di Pakistan kini digenangi air banjir, selepas apa disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) angkara sebagai ‘monsun steroid’ yang membawa hujan paling lebat dan banjir besar, yang telah meragut 1,162 nyawa, mencederakan 3,554 orang, dan menjejaskan 33 juta rakyat Pakistan kehilangan tempat tinggal akibat dimusnahkan banjir sejak pertengahan Jun tahun ini.
Imej-imej baharu itu, yang dirakam pada 28 Ogos lepas daripada satelit MODIS NASA, menunjukkan gabungan hujan lebat dan limpahan Sungai Indus telah menenggelami sebahagian besar wilayah Sindh di selatan Pakistan.
Di tengah-tengah gambar satelit berkenaan, menunjukkan kawasan besar berwarna biru tua menandakan kawasan limpahan Sungai Indus yang telah membanjiri kawasan sekitar 100 kilometer lebar, mengubah ladang pertanian menjadi tasik pedalaman bersaiz gergasi.
Sementara, Menteri Perubahan Iklim Pakistan, Sherry Rehman berkata, satu pertiga negara itu kini berada digenangi air banjir yang kini menenggelamkan hampir seluruh Pakistan, lapor BBC.
“Banjir besar itu telah menghanyutkan jalan raya, rumah dan tanaman meninggalkan jejak malapetaka yang membawa maut di seluruh Pakistan.
“Bumi Pakistan kini umpama lautan yang luas, tidak ada tanah kering untuk mengepam air keluar,” kata Rehman, menyebut mala petaka itu sebagai ‘krisis yang tidak pernah dapat dibayangkan akan terjadi’.
Hujan monsun adalah yang paling lebat direkodkan dalam sedekad ini dan kerajaan Pakistan meletakkan punca mala petaka banjir kali ini adalah angkara perubahan iklim.
“Secara literal, satu pertiga daripada Pakistan dipenuhi air banjir sekarang ini, yang telah melebihi setiap sempadan negeri di negara ini.
“Kami tidak pernah melihat perkara seperti ini,” kata Rehman kepada agensi berita AFP.
Daripada jumlah yang diketahui telah terkorban, 75 orang adalah dalam tempoh 24 jam yang lalu sahaja, ujar jurucakap kerajaan pada Isnin, sambil menambah bahawa jumlah kematian dijangka meningkat.
Bercakap kepada BBC, Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto-Zardari pula berkata, satu pertiga daripada yang terkorban adalah golongan kanak-kanak. – Susunan ZULHAIDI MANSOR-HARAKAHDAILY 2/9/2022